SUKMA: Selangor angkat slogan ‘Tekad Juara’ buru kemenangan

SHAH ALAM, 31 JAN: ‘Smart Selangor’ 2016 dengan slogan ‘Tekad Juara’ dipilih sebagai logo Sukan Malaysia (SUKMA) bagi kontinjen Selangor tahun ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari, berkata logo dan slogan terbabit dipilih bersempena dengan inisiatif Kerajaan Negeri yang mahu menjadikan Selangor sebagai ‘Smart State’.

Slogan pula, katanya membawa maksud kejayaan yang sentiasa diburu.

“Kontinjen Selangor sebelum ini sangat cemerlang lebih lagi antara tahun 1998 hingga 2006.

“Namun selepas itu terumbang ambing. Di Perlis pada 2014, Selangor jatuh ke tangga ke empat yang menjadikan sejarah terburuk sehingga mendapat teguran dari DYMM Sultan Selangor,” katanya di majlis pelancaran logo SUKMA, di Hotel De Palma, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN), Tuan Haji Mohd Zubir Haji Idrus.

Amirudin berkata, atlet di negeri itu bertuah kerana mempunyai Sultan yang prihatin terhadap atlet Selangor.

“Sultan Selangor juga berkenan mencemar duli untuk berjumpa atlet pada majlis makan tengah hari sebelum atlet berangkat ke Sarawak.

“Ia adalah tanda sokongan Tuanku kepada atlet negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor mahu Kerajaan Negeri menukar logo dan slogan ‘Kita Lawan’ bagi SUKMA tahun ini kerana dikatakan mempunyai unsur politik.

 

***Sumber dari Selangor Kini

 

Joomla SEO by MijoSEF