Impian besar Zainal

SHAH ALAM 11 Februari : Zainal Abidin Hassan memasang impian besar pada musim pertama bersama juara Piala Malaysia 2015, Selangor.

Bekas pengendali Pahang itu mahu merangkul trofi pertama apabila Gergasi Merah turun dalam aksi Piala Sumbangsih menentang juara bertahan, Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin esok.

Zainal yang dilantik sebagai pengganti kepada Mehmet Durakovic pada musim ini, mengakui beliau masih belum melupakan kekecewaan tewas 0-2 kepada skuad Harimau Selatan itu ketika membimbing Tok Gajah musim lalu.

Justeru, bekas pemain Selangor tersebut berazam melakukan kejutan ke atas juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia 2015 itu, biarpun sedar pasukan bimbingan Mario Gomez memiliki rekod cemerlang di laman sendiri.

“Memang saya nak menang trofi pertama bersama Selangor selepas terlepas (ketika bersama Pahang) untuk menang Piala Sumbangsih. Jadi, lebih baik untuk tahun ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam

Sebagai rekod, kali terakhir skuad Gergasi Merah muncul sebagai pemenang Piala Sumbangsih ketika menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada 2010.


*** Sumber dari kosmo

Joomla SEO by MijoSEF