MSN sentiasa memberi tumpuan terhadap pembangunan sukan pelayaran terutama dengan menyediakan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi yang kini digunakan untuk program latihan atlet elit dan pelapis kebangsaan.
Zolkples berkata, setakat ini seramai 17 atlet elit dan 20 atlet pelapis sedang menjalani latihan di bawah kendalian lima jurulatih sepenuh masa.
Katanya MSN dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Pelayaran Negeri juga menubuhkan 13 pusat latihan di seluruh negara membabitkan 249 atlet dan mereka menjalani latihan harian di bawah kendalian 19 jurulatih yang dikenal pasti.
“Dengan adanya penganjuran Liga Layar Malaysia, ia akan memberi peluang dan pendedahan kepada atlet negeri bersaing secara konsisten, sekali gus meningkatkan prestasi mereka bersaing di kejohanan lebih besar.
“Sukan pelayaran perlu mempunyai struktur pertandingan tersusun dan kompetitif di semua peringkat. Sehubungan itu penganjuran pertandingan perlu diperbanyakkan bagi membantu atlet pelapis dan elit negara mempersiapkan diri sebelum menghadapi kejohanan lebih besar.
“Penganjuran Liga Layar Malaysia pula menyaksikan sukan ini dapat dipopularkan secara tempatan dan menarik minat anak muda menceburinya di bawah program Belia Belayar yang dianjurkan secara seiring nanti,” katanya.
Zolkples berkata penyertaan Program Belia Belayar terbuka kepada kanak-kanak dan remaja tempatan dengan sasaran penyertaan sekurang-kurangnya 2,000 orang di setiap lokasi.
Program empat hari itu merangkumi gabungan kelas dan sesi di air dengan menekankan aspek asas pelayaran, demonstrasi pelayaran, latihan dan sesi perlumbaan dalam kalangan peserta.
Program pembangunan sukan pelayaran itu juga dapat mewujud atau menaik taraf kemudahan sukan pelayaran di seluruh negara, di samping membuka banyak peluang dan akses kepada generasi muda untuk turut serta selain meningkatkan prestasi atlet sedia ada.
Beliau berkata, MSN akan bekerjasama dengan Persatuan Pelayaran Malaysia menjayakan program itu yang bermatlamat menambah kemahiran jurulatih tempatan supaya lebih kompeten dalam mengendalikan latihan dan persediaan atlet mereka.
Liga Layar Malaysia dan Program Belia Belayar akan meningkatkan kualiti dan hasil kerja pegawai teknikal sukan itu kerana ia membabitkan lebih banyak pertandingan.
Zolkples berkata, Liga Layar Malaysia dan Belia Belayar tidak dapat diadakan mengikut perancangan awal di setiap negeri tahun ini kerana kesuntukan masa.
Namun ia akan diadakan sempena Kejohanan Piala Monsun di Kuala Terengganu dari 15-18 November ini untuk Liga Layar Malaysia dan Program Belia Belayar pula diadakan pada 19-22 November ini. - Bernama
*** Sumber dari Sinar Harian