Kembalikan kejaguhan Selangor, turun ke daerah gilap bakat baharu

Kredibiliti dan karisma Mohd Zubir Idrus disegani ramai. Kemunculan semula beliau menerajui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sebagai Pengarah Eksekutif membayangkan kebangkitan semula sukan negeri. Ikuti temu bual wartawan Selangor Kini, AFEEQA AFEERA mengenai misi dan visi beliau.

Setelah membuat ‘comeback’, apakah perancangan untuk pembangunan sukan di Selangor?

Suatu ketika dulu, Selangor adalah jaguh sukan di negara ini dengan merangkul gelaran juara tujuh kali, enam daripadanya kemenangan berturut-turut dalam Sukan Malaysia (Sukma). Ini menunjukkan pencapaian Selangor sangat cemerlang.

Kejayaan itu bergantung kepada perancangan antara MSN Selangor dengan persatuan sukan kerana mereka memainkan peranan penting dengan dibantu oleh Kerajaan Negeri.

Atlet tidak boleh kekal selamanya, mereka datang dan pergi. Jadi kita memerlukan perancangan berterusan.

Apabila menerajui MSN Selangor, saya bertekad mencurahkan segala kebolehan bagi mengembalikan kegemilangan sukan di Selangor. Tidak banyak perubahan boleh dirangka, cuma lebih kepada meningkatkan, pemantauan dan memastikan perancangan itu baik.

Untuk mencungkil bakat atau menghasilkan atlet cemerlang, kita perlu ada asas kukuh dan besar iaitu memainkan peranan bersama Majlis Sukan Daerah (MSD). Tugas saya untuk memastikan MSD bergerak dengan lebih berkesan.

MSD tiada organisasi tetap. Jadi kita susah untuk kesan atau gilap apa yang berlaku, sebaliknya hanya tahu bakat atlet bila sampai ke pertandingan peringkat negeri.

Dengan adanya MSD, kita dapat selaraskan dengan persatuan sukan daerah. Paling penting menjalin kerjasama kerana ini asas pencarian bakat.

Bila digerakkan secara berkesan, kita akan dapat data atlet berpotensi yang boleh dibawa ke peringkat seterusnya.

Kategori sukan apakah paling menonjol dalam bakat baharu?

Kejayaan Selangor di Sukma tidak bergantung kepada satu kategori ukan sahaja. Untuk cemerlang dan membawa nama negeri ke peringkat lebih tinggi, ia perlu datang dari pelbagai bidang.

Sukan paling banyak medal ialah sukan individu seperti renang, olahraga dan silat. Tetapi, paling menonjol sukan renang dan gimnastik manakala yang kurang menyerlah ialah olahraga.

Namun, dengan kewujudan sekolah sukan yang dilengkapi pelbagai kemudahan, kita jangka Selangor akan memiliki atlet lebih baik pada masa depan.

Kita ada ‘ready made’ atlet untuk kembangkan bakat mereka ke peringkat tertinggi selain dalam program persatuan. Bila asas itu besar, peranan utama ialah uruskan dengan lebih berkesan.

Apakah penambahbaikan untuk prasarana sukan di negeri ini?

Dari segi itu, kita ada banyak fasiliti, malah menjadi rujukan negeri lain. Sekitar 15 tahun lalu, kita wujudkan pusat rehabilitasi dan fisioterapi di MSN Selangor untuk membolehkan atlet mendapat perkhidmatan ‘up to date’.

Dari segi stadium, Selangor memiliki beberapa antaranya Stadium Malawati Shah Alam yang dulunya tiada di tempat lain. Kita tidak kekurangan dari sudut fasiliti, cuma ia sudah terlalu lama dan perlu penambahbaikan dan lengkapkan dengan teknologi terkini.

Bukan tiada kemudahan tetapi perlu naik taraf. Selangor memang ke hadapan tetapi kita perlu bersaing dari segi teknologi memandangkan negeri lain turut ada kemudahan sama. Itu fokus sekarang.

Apakah nilai tambah yang perlu diberi perhatian dalam struktur MSN Selangor?

Produk kita ialah sukan manakala lain-lain ialah suplemen kepada produk utama. Kita perlu perkukuhkan organisasi sukan supaya ia lebih mantap.

Kita tidak boleh pilih mereka yang ada minat tanpa kelayakan atau kemahiran sesuai. Bila bercakap tentang trend latihan terkini, kita perlu mereka yang berilmu. Jadi, bila kita ambil kakitangan, kelayakan jadi keutamaan.

Kita perlu tambah nilai untuk maju supaya kita tidak ketinggalan. Kita perlu berbelanja untuk atlet, latihan dan lebih pendedahan.

Apakah program terbesar MSN Selangor sepanjang tahun ini?

Kita sudah kategorikan pembangunan sukan di Selangor. Pertama, persedian Sukma dua tahun sekali. Yang perlu latihan segera. Contoh, apabila Sukma habis dalam masa dua bulan, atlet perlu buat latihan semula.

Ini kita panggil program khas untuk sukan individu. Dalam Sukma kita ada beberapa fasa, antaranya kenal pasti sukan individu yang atlet sudah dipilih dan kita lantik jurulatih khas.

Fasa kedua pula lebih kepada sukan yang boleh bawa medal banyak contohnya sepak takraw. Ketiga, atlet yang ‘almost there to go’.

Kita juga ada projek khas iaitu membawa bakat baharu yang layak ke sekolah sukan seperti di Seksyen 11, Shah Alam. Kita bantu dan latihan diuruskan persatuan.

Cadangan kontrak sehingga lima tahun untuk atlet Selangor seperti sukan bola sepak. Komen?

Ia langkah baik tetapi kita perlu lihat dari segi prosedur kerana bila bercakap tentang atlet remaja, mereka bergantung kepada kebenaran ibu bapa, pihak berkuasa tertentu dan sebagainya untuk dapat kebenaran.

Sebenarnya, atlet yang dibiayai mesti mewakili Selangor. Pemain profesional boleh diadakan kontrak tetapi atlet (tanpa tandatangan atas kertas kerja) juga dianggap kontrak.

Kalau kita keluarkan banyak belanja untuk atlet itu, apabila mereka dapat tawaran lain dan bersetuju untuk pergi, itu dianggap tidak beretika.

MSN ada prosedur. Jika atlet itu datangnya dari Selangor, dia mesti mewakili Selangor. Kontrak tidak bermaksud kena ada kertas kerja.

Cuma konsepnya bila kita tanggung anak yang datang dari rumah kita, takkan hendak beri kepada orang lain? Bila mereka sampai satu tahap umur, itu cerita lain.

Harapan terhadap kemajuan sukan di Selangor?

Kemasukan saya buat kali ketiga untuk mengembalikan Selangor ke tahap lebih baik dari sebelumnya supaya dikenali sebagai negeri yang melahirkan atlet yang mengharumkan nama negara.

Saya berharap kita sampai ke tahap itu semula dan disegani. ‘Benchmark’ adalah Sukma kerana kalau kita boleh hasilkan atlet berkualiti dalam Sukma, kita mampu sediakan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Saya berharap MSN Selangor kembali disegani seperti dulu. Sebab di negeri lain, mereka sudah ada entiti sendiri. Dulunya mereka datang sini untuk belajar tetapi kita sudah kehilangan semua itu.

Kita mahu kembalikan kegemilangan sukan. Selangor adalah antara negeri yang pemimpinnya sangat prihatin dengan sukan. Saya berharap dapat meletakkan Selangor ke tahap seperti dulu atau lebih dari itu.

 

*** Sumber dari Selangor Kini

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan, cadangan, maklumbalas dan aduan berkaitan, sila hubungi Unit Korporat, di talian 03 - 5519 6380 / 03 - 5510 9063

Tentang Kami

Sebarang urusan rasmi, sila berkunjung ke :

Aras 3, Carlton Hotel Holidays & Suites, No.1, Persiaran Akuatik, Jalan Aerobik 13/43, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA.

Tel : +603 - 5519 6380 / 5510 9063

Fax : +603 - 5510 1377

Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Web : www.msnselangor.gov.my

Koordinat : 3.075382, 101.537138

Ikuti Kami

Statistik Pengunjung

3 9 9 8 8 7 3
Hari Ini
Kelmarin
Minggu Ini
Minggu Lepas
Bulan Ini
Bulan Lepas
Keseluruhan
508
673
3829
2651361
15089
18666
3998873
Alamat IP: 54.161.49.129
Waktu Pelayan: 24-06-2017 20:05:06