Print

 

LATAR BELAKANG MAJLIS SUKAN NEGERI SELANGOR

 

Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah ditubuhkan pada 1972 mengikut Akta 29 Jadual Kedua, Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971. Majlis ketika itu bernaung di bawah Kerajaan Negeri dan ditadbir oleh kakitangan yang dipinjamkan dari jabatan–jabatan Kerajaan Negeri dan mendapat geran tetap daripada Kerajaan Negeri Selangor. Majlis telah terus berkembang dan pada tahun 1986 Majlis telah menyusun semua perjawatannya dengan menambah bilangan kakitangannya.

 

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurus MSNS Bil. 3/1991 bertarikh 27hb Ogos 1991 yang di pengerusikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar selaku Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor ketika itu telah bersetuju supaya MSNS ditadbir secara swasta atau diswastakan dengan tiada geran atau peruntukan tetap Kerajaan Negeri Selangor. Semenjak keputusan tersebut, pentadbiran MSNS telah beroperasi secara korporat dengan menjana pendapatan melalui beberapa projek penswastaan.

 

Majlis terus berkembang membangunkan kemudahan sukan dan pembangunan atlet serta pelaburan perniagaan anak–anak syarikat dan sesuai dengan perkembangan itu, Majlis sekali lagi telah menyusun semula organisasi mulai 1994 dan ianya digunapakai sehingga tahun 2000.

 

Seterusnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-1/2000 yang bersidang pada 5 Januari 2000 telah bersetuju menimbang dan meluluskan penyusunan semula MSNS yang antara lain menetapkan bahawa organisasi MSNS diletakkan di bawah pentadbiran negeri dan bertanggungjawab terus kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan). Manakala bagi memantapkan organisasi MSNS pada masa hadapan, MSNS hendaklah bertukar status kepada Badan Berkanun Negeri.

 

Manakala, pada tahun 2015, Majlis telah meneliti betapa perlunya MSNS disusun semula dengan pertambahan beberapa perjawatan dan perubahan struktur organisasi untuk memastikan pengurusan pentadbiran dapat dilaksanakan secara teratur, tersusun, dan beroperasi secara efisyen.

 

Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-30/2015 yang bersidang pada 17 September 2015 telah menimbang dan bersetuju dengan cadangan penyusunan semula MSNS dengan pertambahan perjawatan berdasarkan struktur organisasi yang baharu tersebut.

 

Bermula tahun 2020, MSNS telah membuat semakan semula berhubung status penubuhan MSNS dan mengambil kira beberapa pendangan perundangan pada masa itu, MSNS merupakan agensi yang tertakluk dan dikawal sepenuhnya di bawah peruntukan Akta 29 iaitu punca kuasa asal penubuhan dan penjalanan fungsi MSNS.

 

Pengurusan hal ehwal Majlis juga adalah terletak sepenuhnya di bawah Lembaga Pengurus MSNS. Selain itu, MSNS juga telah dibiayai dan menerima geran peruntukkan tetap setiap tahun dari Kerajaan Negeri sehingga kini.

 

Untuk memperkukuhkan dan memperkemaskan pentadbiran organisasi MSNS, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-7/2020 yang bersidang pada 19 Februari 2020 telah menimbang dan bersetuju agar MSNS menggunapakai kaedah dan prosedur pengurusan pentadbiran dan kewangan yang diamalkan oleh jabatan/agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor dan boleh mewujudkan peraturan dalaman (house rules) secara pentadbiran MSNS serta perlu memastikan peraturan tersebut tidak bertentangan dengan Akta 29.